MeMBeR yG BesH!

Friday, 2 December 2011

Pedoman Hidup

Tujuh golongan mukmin mendapat perlindungan perkara melalaikan


RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sebilangan manusia yang dinaungi

Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada

sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya 
ialah pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam 
mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Ada tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak
iaitu:



1. Pemerintah yang adil.
Ia kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan amat berat. Bukan mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.

2. Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada
tuhannya.

Sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja. Ini kerana pada usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa depannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna.

Pada masa muda juga pelbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka, beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan ini. Bahkan, usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid.
Sesungguhnya ada hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah dan dikategorikan sebagai suatu sedekah. Maka, apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.

4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya
berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah

Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah supaya ia mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.

5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk
bersatu (berzina) dengannya lalu dia menolak dengan berkata:” Aku takut
kepada Allah!”

Ia menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar sudah berjaya menangkis segala bentuk godaan. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut dosanya.

6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya
tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya

Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan ada perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk. Ia supaya mendapatkan pujian atau sanjungan atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakukannya.

7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada
dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana
mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah

Inilah sifat mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh itu, hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara yang melalaikan. 


Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.