MeMBeR yG BesH!

Wednesday 7 December 2011

Kisah Empat Isteri Ku

Assalamu'alaikum wm.wrt.

Pada suatu ketika dahulu, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Ini kerana isteri keempatnya adalah yang tercantik di antara ke semua isteri-isterinya itu. Maka, tidak hairanlah lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu. 

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain dan meninggalkannya kesepian. 

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini.

Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya ketika suaminya menghadapi kesulitan. 

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang ini tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya, namun pedagang ini tidak begitu memperdulikannya. 

Suatu ketika, si pedagang jatuh sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua perjalanan kehidupannya yang indah dan berkata dalam hati: "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan bersendirian. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup bersendirian." 

Lantas dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, ku berikan kau pakaian dan perhiasan yang indah-indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingi ku dan menemani ku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu  saja tidak", jawab isterinya yang keempat dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya. 

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintai mu sepenuh hati, dan saat ini, hidup ku akan berakhir. Mahukah kau ikut dengan ku, dan menemani akhir hayat ku?". Isteri ketiganya menjawab: "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu. 

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling pada mu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantu ku. Kini, aku perlu sekali pertolongan mu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingi ku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku, aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan ku buatkan makam yang indah buat mu." Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba dia terdengar satu suara, "Aku akan tinggal dengan mu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkan mu, aku akan setia bersama mu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya kelihatan begitu kurus. 

Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berkata, "Kalau saja aku mampu melayan mu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan ku biarkan kau seperti ini isteri ku."

Saudara-saudara, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini : 

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya nampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA. 

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita yang kita miliki. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya. 

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai ke kubur sahaja mereka akan menemani kita. 

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi.

Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak. 

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal dikemudian hari.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.